)
“Minggu depan dah nak masuk kerja, belum buat stok susu anak lagi. Dah macam-macam milkbooster aku telan tapi setiap kali pam dapat sikit sangat! Macam mana ni?”
Kadang-kadang, kita dah usaha makan kurma, minum banyak air, dan macam-macam petua tapi satu pun tak menjadi. Bagi anda yang buntu, cubalah teknik power pumping. Ia adalah salah satu teknik yang telah dilakukan oleh ramai ibu menyusu untuk menstimulasikan dan sekaligus menambah susu badan yang semakin berkurang.
APAKAH MAKSUD POWER PUMPING?
Power pumping adalah satu teknik mengepam dengan ‘meniru’ hisapan bayi yang kerap menyusu atau sedang mengalami growth spurt. Ketika tempoh tersebut, bayi biasanya agak cerewet, mahu sentiasa ‘berkepit’, kerap menyusu dan menyusu dengan lebih lama.
Dalam erti kata lain, power pumping tak ubah seperti sesi mengepam susu badan seperti biasa, namun anda memilih satu masa spesifik untuk mengepam lebih kerap dan lebih panjang tempohnya.
Foto Kredit: sky-t.ru
BAGAIMANA POWER PUMPING BOLEH MEMBANYAKKAN SUSU BADAN?
Apabila anda mengepam dengan lebih kerap, hormon prolaktin akan terhasil daripada kelenjar pituitari dan menghantar mesej kepada tubuh untuk memproduksikan lebih banyak susu. Ini adalah kerana susu badan terhasil berdasarkan prinsip supply and demand.
Dengan melakukan power pumping, susu badan akan terstimulasi dan terhasil lebih banyak dalam masa yang lebih singkat.
Foto Kredit: tommeetippee.us
CARA MELAKUKAN POWER PUMPING
Untuk melakukan power pumping ini, anda perlu memilih satu jam dalam sehari yang anda selesa mengikut kelapangan anda. Contohnya jam 10-11 pagi. Pastikan anda dapat luangkan 1 jam untuknya tanpa ada gangguan besar. Jadi janganlah pilih waktu yang sibuk ya.
Lakukan power pumping dengan langkah ini:
- Pam selama 20 minit, kemudian rehat 10 minit
- Pam lagi selama 10 minit, kemudian rehat 10 minit
- Akhir sekali, pam lagi selama 10 minit. Tamatkan sesi.
Dalam tempoh 1 jam ini, anda akan mengepam selama 40 minit. Ia boleh dilakukan 2 kali sehari jika ada kelapangan.
Dalam waktu-waktu lain, teruskan menyusu badan atau mengepam seperti biasa saja.
Foto Kredit: Exclusive Pumpers
BERAPA LAMAKAH IA PERLU DILAKUKAN?
Bergantung kepada tubuh anda, kesannya tidak sama bagi setiap ibu menyusu. Sesetengah ibu akan mula merasai penghasilan susu badan yang banyak dalam masa 48 jam. Namun, sesetengah ibu pula hanya akan mula merasakan kesannya selepas 1 minggu.
Apa yang penting, jangan cepat mengalah walaupun anda akan hanya dapat memerah beberapa titik susu dalam beberapa sesi terawal.
Foto Kredit: youtube.com
BEBERAPA TIPS UNTUK MENINGKATKAN KEBERKESANNYA
Ada beberapa tips yang mungkin boleh membantu menjayakan power pumping ini dengan lebih cepat dan efektif:
- Pastikan anda berada dalam keadaan yang relaks. Ini melibatkan posisi mengepam, tempat yang sesuai dan minda yang tenang.
- Jenis pam susu yang bagus dan mirip dengan hisapan bayi.
- Sediakan air secukupnya di sisi ketika mengepam.
- Menstimulasikan sebelah payudara dengan direct feeding sambil mengepam pada sebelahnya.
- Mengurut payudara sebelum, ketika, dan selepas mengepam.
Foto Kredit: romper.com
IBU JANGAN STRES YA!
Menurut kajian, stres adalah antara musuh nombor satu yang menjejaskan produksi susu ibu. Jadi, ibu mesti berfikiran positif dan jangan cepat panik jika ianya masih belum menampakkan sebarang kesan.
Memang ramai ibu yang mengakui keberkesanan teknik power pumping ini. Namun, bagi sesetengah ibu ia akan mengambil lebih masa berbanding biasa.
Mama Yanie
yanie.izwan@gmail.com